Skip to content

YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN (YIDE) MENYANTUNI DUA KELUARGA MANGSA KEBAKARAN DI PULAU INDAH, KLANG

TELUK GONG KLANG, 9 Oktober 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) terus komited melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah apabila menyantuni dua keluarga yang terjejas akibat kejadian kebakaran di Pulau Indah, Klang.
.
Kejadian yang berlaku pada 7 Oktober 2025 telah menyebabkan kerosakan kepada kediaman Encik Henri dan Encik Yusuf. Berdasarkan maklumat awal, rumah Encik Henri mengalami kerosakan sebahagian namun masih boleh didiami, manakala kediaman Encik Yusuf pula mengalami kemusnahan hampir keseluruhan.
.
Bagi meringankan beban yang ditanggung, Encik Muhammad Zubair bin Azizan selaku Pengurus Operasi Kebajikan YIDE, telah turun padang bagi menyampaikan sumbangan kewangan serta Pek Prihatin YIDE kepada kedua-dua keluarga berkenaan. Lawatan tersebut turut bertujuan menzahirkan keprihatinan YIDE terhadap nasib mangsa yang terjejas serta memberi sokongan moral kepada mereka.
.
YIDE sentiasa berperanan aktif dalam menyalurkan bantuan segera kepada individu dan keluarga yang berdepan bencana atau kesusahan hidup, sejajar dengan matlamatnya untuk memperkasa kebajikan ummah di Negeri Selangor.
.
YIDE turut mendoakan agar semua mangsa yang terkesan diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini serta dipermudahkan segala urusan mereka. Dalam masa yang sama, YIDE menyeru masyarakat untuk terus membudayakan amalan infaq dan sedekah, kerana setiap sumbangan mampu menjadi sinar harapan buat mereka yang memerlukan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Â