Skip to content

Memperkukuh Tadbir Urus & Pematuhan YIDE Melalui Kefahaman Akta AMLA (Akta 613) Bersama PDRM

Pada 28 September 2026, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah melaksanakan Sesi Taklimat Lembaga: Kepatuhan Organisasi & Lembaga Pemegang Amanah YIDE terhadap Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) bertempat di Ibu Pejabat YIDE, Shah Alam. Sesi taklimat telah disampaikan oleh YBhg. DCP Datuk Fazlisyam Abdul Majid, Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.

Turut hadir YAD Tan Sri Dato’ Setia Mazlan bin Mansor, Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, barisan Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Pengurus Besar YIDE dan barisan Pengurusan YIDE. Sesi ini memberi pendedahan berkaitan kepentingan pematuhan terhadap Akta 613, termasuk aspek risiko pengubahan wang haram, obligasi pematuhan, penyimpanan rekod serta tanggungjawab organisasi dan Lembaga Pemegang Amanah dalam memastikan pengurusan dana dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

Sesi turut menjadi platform perkongsian ilmu dan perbincangan dua hala bagi meningkatkan kefahaman terhadap risiko penyalahgunaan dana serta kepentingan kawalan pencegahan yang berkesan dalam organisasi. Sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu dan kepakaran yang disampaikan, sesi penyerahan cenderahati kepada YBhg. DCP Datuk Fazlisyam Abdul Majid telah disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Setia Mazlan bin Mansor, Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE.

Penganjuran sesi ini mencerminkan komitmen berterusan YIDE dalam memperkukuh tadbir urus, integriti, pematuhan dan pengurusan risiko. YIDE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. DCP Datuk Fazlisyam Abdul Majid serta pihak PDRM, Bukit Aman atas perkongsian ilmu, pandangan dan pengalaman yang disampaikan.

ZERO TOLERANCE TOWARD CORRUPTION
“Amanah Dijunjung, Integriti Diperkukuh.”