
Shah Alam, 18 Jun – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah dijemput menghadiri Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025, bagi menerima agihan fidyah berjumlah RM300,000. Dana ini merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM4,683,900 yang akan disalurkan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan melalui kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM).
.
Majlis pelancaran dan penyerahan agihan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Amat Dihormati Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), yang berlangsung di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
.
Sebagai anak syarikat MAIS, YIDE turut mengambil peluang membuka ruang pameran (booth) bagi memperkenalkan pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan, khususnya dalam membantu golongan sasar dan memerlukan di Negeri Selangor.
.
YIDE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pihak MAIS atas penganjuran program ini yang sangat bermakna dalam menyokong kelangsungan hidup para pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.