Skip to content

PENGHUNI RUMAH KEBAJIKAN ANAK YATIM SELANGOR LAKSANA SOLAT GHAIB, BACAAN YASSIN DAN TAHLIL ARWAH MANGSA NAHAS KEMALANGAN MELIBATKAN PELAJAR UPSI

Selangor, 12 Jun 2025 (Khamis) – 35 Rumah Kebajikan Anak Yatim Negeri Selangor di bawah seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah melaksanakan Solat Ghaib, Bacaan Yassin dan Tahlil Arwah khusus bagi mendoakan kesejahteraan roh mangsa yang terlibat dalam nahas kemalangan tragis melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
.
Majlis yang berlangsung selepas solat Maghrib ini menghimpunkan 1,232 penghuni di 35 rumah kebajikan anak yatim di bawah naungan YIDE sebagai satu manifestasi solidariti dan doa bersama terhadap keluarga mangsa tragedi tersebut.
.
Menurut En Nur Mohd Razali selaku Pengurus Besar YIDE, objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk mendoakan kesejahteraan roh mangsa nahas selain menzahirkan rasa simpati dan sokongan moral daripada anak-anak yatim kepada keluarga yang diuji dengan kehilangan. Disamping itu majlis ini secara tidak langsung memupuk nilai-nilai kerohanian dan pengukuhan iman dalam kalangan penghuni rumah kebajikan menerusi amalan keagamaan yang berterusan.
.
YIDE melihat inisiatif seperti ini sebagai satu usaha murni dalam mendidik dan membentuk jati diri anak-anak yatim melalui pendekatan spiritual, di samping mengajar mereka tentang erti empati dan keprihatinan terhadap masyarakat.
.
Pihak YIDE juga menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi dugaan ini.