KUALA LANGAT, 18 Julai 2026 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah menganjurkan Kem Bestari Solat Anak Yatim Negeri Selangor bagi Daerah Kuala Langat bertempat di Masjid Nurul Iman, Batu 10, Kebun Baru, Telok Panglima Garang.
Program yang disertai seramai 82 orang anak yatim ini merupakan antara inisiatif bulanan YIDE dalam menyantuni anak-anak yatim di seluruh Negeri Selangor melalui pelaksanaan program pembangunan insan.
Kem ini memberikan fokus kepada pengukuhan asas kehidupan seorang Muslim, khususnya berkaitan ibadah fardu ain. Para peserta mengikuti sesi pembelajaran secara berkumpulan di bawah bimbingan fasilitator yang dilantik oleh YIDE.
Antara pengisian yang dilaksanakan termasuk ceramah mengenai kepentingan solat, pembelajaran teori berkaitan bersuci dan ibadah serta sesi amali bagi membantu peserta memahami dan mempraktikkan ibadah dengan lebih tepat dan yakin.
YIDE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini, khususnya pihak pengurusan Masjid Nurul Iman atas kerjasama serta kemudahan yang diberikan.
Ayuh bersama-sama berinfaq melalui YIDE. Setiap sumbangan yang disalurkan akan dikembalikan dalam bentuk manfaat kepada anak-anak yatim menerusi bantuan kebajikan serta pelbagai program pendidikan dan pembangunan insan.
Semoga setiap sumbangan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan membawa manfaat kepada masa depan anak-anak yatim.
