3 November 2025 | Pulau Indah – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menerima kunjungan wakil daripada Affin Bank Berhad dalam sesi lawatan tapak ke Projek Pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah bagi meninjau kemajuan pembangunan yang kini berada pada fasa utama pelaksanaan.
.
Dalam lawatan ini, pihak Affin Bank turut menyatakan komitmen untuk menyumbang dana pembangunan bagi menyokong pembinaan kompleks tersebut, sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
.
Lawatan ini menjadi simbol jalinan kerjasama antara sektor korporat dan institusi kebajikan Islam dalam membangunkan prasarana yang bakal memberi manfaat besar kepada anak-anak yatim di Selangor.
.
YBrs. En. Nur Mohd Razali bin Abdullah, Pengurus Besar YIDE dan YBrs. En. Zaharudin Salim, Pengarah Strategi Korporat MAIS telah menyambut kehadiran delegasi Affin Bank yang diketuai oleh En. Noor Azman, Ketua Bahagian Korporat Affin Bank.
.
Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah ini bakal menempatkan anak-anak yatim dalam suasana pembelajaran dan kehidupan yang lebih selesa, moden serta berdaya saing, seiring matlamat YIDE untuk melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia.
.
Sinergi bersama ini diharap menjadi permulaan kepada kolaborasi strategik yang berterusan antara YIDE dan Affin Bank dalam memperkasa agenda kebajikan anak-anak yatim di negeri Selangor.
