Pelabuhan Klang, 9 September 2025 (Selasa) – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah telah menganjurkan program motivasi bertajuk “Anak Yatim, Anak Hebat” yang berlangsung di Surau sekolah berkenaan.
Program ini diadakan bagi memberi dorongan, suntikan semangat serta membina jati diri anak-anak yatim agar lebih berkeyakinan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Ceramah ini telah disampaikan oleh Encik Fahimi Indra, penceramah jemputan yang berpengalaman dalam bidang motivasi dan pembangunan sahsiah pelajar. Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah, Tuan Mohd Rizal bin Mohd Safaad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Azlinda, barisan guru serta para pelajar yang turut serta.
Selain ceramah motivasi, pihak YIDE turut berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang hadir sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap kebajikan mereka.
Melalui penganjuran program ini, YIDE berharap dapat memperkukuh semangat anak-anak yatim untuk terus maju, berjaya dalam pelajaran, serta menjadi individu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
YIDE juga menyeru masyarakat untuk terus menyokong usaha pembangunan anak-anak yatim melalui infaq dan sedekah, kerana setiap sumbangan mampu menjadi sumber kekuatan dan harapan buat mereka.
