
PUNCAK ALAM, 16 MAC 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) meneruskan komitmen dalam menyantuni anak-anak yatim di Negeri Selangor dengan penganjuran Majlis Sumbangan Hari Raya yang kelima bagi tahun ini. Majlis penuh bermakna ini berlangsung di Masjid Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Kuala Selangor.
Pada tahun 2025, YIDE telah memperuntukkan sebanyak RM1.95 juta bagi memastikan 13,000 anak-anak yatim di seluruh Selangor menerima sumbangan Aidilfitri. Di daerah Kuala Selangor sahaja, seramai 1,102 anak yatim telah disantuni, melibatkan 567 anak yatim lelaki dan 535 anak yatim perempuan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM165,300.00.
Hari ini, seramai 525 anak yatim menerima sumbangan Hari Raya yang disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM78,750.00. Manakala bagi 577 anak yatim yang tidak dapat hadir, YIDE telah mengkreditkan sumbangan berjumlah RM86,560 terus ke akaun bank masing-masing bagi memastikan mereka tetap menerima bantuan yang disediakan.
Pihak YIDE turut merafakkan setinggi-tinggi junjungan kasih dan penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor atas sokongan yang berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yatim di Negeri Selangor sentiasa terpelihara.
Dalam majlis sama, D.Y.T.M. Raja Muda Selangor berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjumlah RM652,470 kepada YIDE, Perbadanan Wakaf Selangor dengan jumlah sumbangan RM50,000 dan juga Global Ehsan Relief Malaysia dengan sumbangan sebanyak RM26,250 khusus kepada penerima manfaat dibawah kelolaan YIDE.
Kehadiran tetamu kehormat disambut oleh YBhg. Tan Sri Mazlan bin Mansor, Pengerusi YIDE marangkap Timbalan Pengerusi MAIS antaranya Y.A.D. Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Bin Saidin, Pengerusi MAIS, Y.D.M. Orang-orang Besar Istana, YBHG. Dr. Haji Ahmad Shahir Bin Makhtar, Setiausaha MAIS, Sahibus Samahah Dato’ Prof. Madya Dr. Haji Miszairi Bin Haji Sitiris, Timbalan Mufti Negeri Selangor, YBhg. Tuan Haji Mohd Salim Bin Mohamed Sain, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sumbangan Hari Raya Anak-Anak Yatim 2025 Yayasan Islam Darul Ehsan, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Islam Darul Ehsan., YBrs. En. Nur Mohd Razali Bin Abdullah, Pengurus Besar, Yayasan Islam Darul Ehsan dan Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di Negeri Selangor. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Bin Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Menteri Kesihatan.