
Shah Alam, 19 Februari 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah menerima kunjungan pakar penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membincangkan kajian mengenai kesejahteraan akademik anak-anak yatim di Negeri Selangor.
Kajian ini bertujuan untuk menangani isu kesukaran pembelajaran yang sering kali tidak dikesan di kalangan kanak-kanak yang tinggal di rumah kebajikan, yang secara langsung memberi kesan kepada kesejahteraan akademik mereka dan meningkatkan risiko masalah sosial. Terdapat sejumlah besar kanak-kanak di rumah kebajikan yang memerlukan perhatian serta sokongan akademik tambahan, namun sering kali mereka tidak menerima akses yang mencukupi untuk mengatasi cabaran ini.
Masalah yang dihadapi oleh mereka adalah unik dan berbeza berbanding dengan pelajar biasa. Oleh itu, kajian ini akan memberi tumpuan kepada analisis keperluan kesejahteraan akademik anak-anak yatim, pembangunan instrumen saringan untuk mengesan masalah kesukaran pembelajaran, serta merancang intervensi yang berkesan bagi meningkatkan peluang mereka untuk menerima pendidikan yang lebih saksama.
Hasil daripada perbincangan ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan penyelidikan ini, memandangkan ia sangat penting dalam membangunkan potensi akademik anak-anak yatim dan menjamin masa depan mereka yang lebih cerah.
Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada panel pakar penyelidik yang telah sudi hadir untuk membincangkan kajian ini dan memberi khidmat yang amat berharga kepada anak-anak yatim di Negeri Selangor