Skip to content

YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN (YIDE) & PAKSI TRAINING CONSULTANCY ANJUR KEM BINA LEGASI INSANI

BANTING, 8-9 Ogos 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Paksi Training Consultancy telah menganjurkan Kem Bina Legasi Insani yang melibatkan seramai 40 orang anak yatim dari Daerah Sepang bertempat di Kem Baitunnur, Banting.
.
Program ini dirangka khas bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga keselamatan dan kehormatan diri, memberi pendedahan mengenai cabaran akil baligh serta kepentingan menjaga ruang peribadi berlandaskan nilai Islam, menyemai rasa tanggungjawab melindungi orang lain melalui adab pergaulan, mencegah gejala sosial seperti pergaulan bebas dan seks bebas, serta membina visi hidup remaja Rabbani yang sihat dan seimbang.
.
Sepanjang dua hari program, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian bermanfaat antaranya perbincangan isu semasa seperti “Statistik Kerosakan Akhlak, Seks Bebas dan HIV” dalam kalangan remaja, penerangan mengenai “Perkembangan Seksual dan Pengurusan Fitrah Naluri”, serta penekanan terhadap nilai malu dan menjaga pandangan sebagai benteng diri seorang Muslim. Perkongsian ini diperkukuhkan lagi melalui sesi interaktif bersama fasilitator yang membolehkan peserta memahami dan menghayati setiap topik yang dibentangkan.
.
Semoga Kem Bina Legasi Insani ini menjadi pencetus kepada pembinaan jati diri, mengukuhkan nilai malu sebagai pelindung maruah, dan melahirkan generasi remaja yang berakhlak mulia, berwawasan, serta mampu menjadi pewaris legasi insan cemerlang di masa hadapan.