Skip to content

YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN (YIDE) SEGERA HULUR SUMBANGAN KEPADA SMAP KAJANG AKIBAT KEBAKARAN

KAJANG, 11 Julai 2025 – Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) telah diuji dengan satu insiden kebakaran yang berlaku pada awal pagi di bangunan pentadbiran sekolah.
 
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.05 pagi oleh dua orang murid, Ilman dan Hadi, yang melihat api dari Blok Asrama Lelaki kepada warden bertugas, Warden bersama beberapa murid segera berusaha memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun api semakin marak dan segera melaporkan kepada bomba.
 
Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba pada jam 1.27 pagi dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 1.58 pagi. Antara ruang yang terjejas melibatkan Bilik Pengetua, pejabat pentadbiran, bilik guru kanan, bilik mesyuarat, surau staf perempuan, stor pejabat, dan ruang rehat. Turut musnah dalam kebakaran adalah dokumen rasmi sekolah seperti fail pengurusan dan baucer bayaran kewangan serta akaun tahun 2024 dan 2025. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden ini. Anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak sekolah.
 
Pihak pengurusan SMAPK menzahirkan rasa syukur kerana tiada kehilangan jiwa berlaku, serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang pantas bertindak dan membantu mengawal keadaan. Semoga warga SMAPK terus diberi kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
 
Sebagai tanda keprihatinan dan solidariti atas ujian yang menimpa Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK), YIDE melalui wakil Encik Muhammad Zubair bin Azizan selaku Pengurus Operasi YIDE, telah menyerahkan sumbangan musibah kebakaran kepada Encik Abdul Rashid bin Zainal, Pengetua SMAPK bagi meringankan beban yang ditanggung.
 
YIDE menzahirkan rasa simpati atas kejadian musibah ini dan mendoakan agar warga SMAPK dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan.