
AMPANG, – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran, Encik Mohd Rizal bin Rahim selaku mangsa kebakaran di Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang.
.
Menurut Encik Rizal, insiden kebakaran berlaku sekitar jam 6.00 petang ketika beliau berada di luar kawasan atas urusan peribadi. Beliau hanya dimaklumkan mengenai kejadian oleh jiran tetangga. Kediaman beliau musnah sepenuhnya termasuk semua kelengkapan dan dokumen penting keluarga namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Beliau bersama ahli keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Lembah Jaya Selatan.
.
Sebagai tanda keprihatinan dan solidariti atas ujian yang menimpa keluarga tersebut, YIDE melalui wakil setempat, Encik Nor Akmal bin Nordin selaku Penghulu Kampung Lembah Jaya Selatan, telah menyerahkan sumbangan musibah kebakaran kepada Encik Rizal bagi meringankan beban yang ditanggung.
.
YIDE menzahirkan rasa simpati atas kejadian musibah ini dan mendoakan agar keluarga mangsa dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan. YIDE juga menyeru seluruh masyarakat agar terus membudayakan amalan infaq dan sedekah kerana setiap sumbangan yang dihulurkan bukan sahaja menjadi sumber kekuatan kepada mereka yang teruji, malah menjadi bukti kasih sayang sesama insan.