Skip to content

RUMAH ANAK YATIM DI BAWAH YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN TURUT SERTA MEMBANTU MANGSA MUSIBAH DI SHAH ALAM

RUMAH ANAK YATIM DI BAWAH YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN TURUT SERTA MEMBANTU MANGSA MUSIBAH DI SHAH ALAM

SHAH ALAM, 13 April 2025 – Lima (5) Rumah Anak Yatim (RAY) berdaftar di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah berganding bahu menyantuni mangsa musibah di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Height dan Dewan Camelia, Subang Jaya dalam satu usaha khidmat masyarakat yang penuh bermakna.

Tragedi kebocoran paip gas letupan yang berlaku dua minggu lalu di Putra Heights telah memberi kesan kepada penduduk setempat seperti rumah kediaman dan kenderaan. Mangsa-mangsa yang terkesan ditempatkan sementara di PPS Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan asas sementara.

Atas keprihatinan ini , lima rumah anak yatim — iaitu Rumah Kasih Harmoni (RKH), Pertubuhan Kebajikan Ehsan Asy Syakur, Pertubuhan Amal Rukaiyah, Yayasan Wardatul Jannah dan Asrama Damai Kuang — tampil memberikan sokongan dengan membantu menyusun semula barangan sumbangan serta membersihkan kawasan PPS.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk menyumbang kepada masyarakat, bahkan ia juga menjadi wadah mendidik mereka mengenai pentingnya nilai keprihatinan, empati dan tanggungjawab sosial.

Penglibatan anak-anak ini adalah sebahagian daripada usaha memupuk semangat kesukarelawanan sejak usia muda, serta memberi pendedahan kepada realiti kehidupan masyarakat yang ditimpa musibah.