Skip to content

NAHAS KM204: YIDE MENZIARAH ANAK YATIM PIATU

NAHAS KM204: YIDE MENZIARAH ANAK YATIM PIATU

BANGI, 3 Januari 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah meluangkan waktu untuk menziarahi dan memberikan sumbangan kepada dua anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan tragis di Melaka pada minggu lalu.
 
Dalam kejadian tersebut, almarhum Khairul Ikhwan bin Mazupi, bersama isteri dan anak bongsunya yang berusia dua tahun, terkorban dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan.
 
Tragedi ini meninggalkan dua anak mereka, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan (7 tahun) dan Nur Sofea Humaira (4 tahun) sebagai yatim piatu. Kedua-dua anak tersebut kini berada di bawah jagaan datuk mereka, Datuk Mazupi Abdul Rahman, seorang bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.
Selain ibu dan bapa, kemalangan menyayat hati itu turut meragut nyawa datuk dan nenek sebelah ibu kanak-kanak tersebut, Ramli Ab Wahab, 66 tahun, dan Fauziah Jaafar, 69 tahun. Selain itu, pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56 tahun, serta seorang penumpang warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66 tahun, turut terkorban dalam insiden tersebut.
 
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan mewakili Pengurus Besar YIDE kepada Muhammad Uwais Al-Qarni. Dalam pertemuan itu, beliau terut berpesan agar Uwais sentiasa mendoakan kesejahteraan roh ibu dan bapa selain mengutamakan pelajaran dan menjaga solat.