SHAH ALAM – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah menganjurkan Program Kembara Ilmu Anak Yatim ke Yayasan Restu dan Muzium Sultan Alam Shah, melibatkan seramai 40 orang anak yatim dari sekitar daerah Petaling.
.
Program ini bertujuan mengisi masa cuti persekolahan anak-anak yatim dengan aktiviti bermanfaat, di samping menambah ilmu pengetahuan dari aspek rohani dan jasmani.
.

Di Yayasan Restu, anak-anak yatim berpeluang mempelajari sirah nabawiyyah melalui aktiviti Rehlah Nabawiyyah yang menceritakan perjalanan hidup Rasulullah SAW sejak kelahiran, perjuangan dakwah, sehinggalah kewafatan baginda. Pengisian disampaikan secara interaktif melalui perkongsian tour guide, tayangan video serta pameran replika artifak Rasulullah SAW.
.

Di Muzium Sultan Alam Shah, mereka pula menelusuri sejarah Kesultanan Selangor dan kehidupan masyarakat terdahulu dari aspek ekonomi, perdagangan dan penggunaan mata wang. Anak-anak juga menghayati nilai sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air melalui pameran dokumen serta bahan bersejarah.
.
Pengisian ini bukan sahaja mendekatkan anak-anak yatim dengan sirah Nabi Muhammad SAW, malah turut menanam rasa cinta kepada negara melalui pendedahan terhadap sejarah perjuangan bangsa dan institusi kesultanan.
.