
Kuala Kubu Baru, 15 Ogos 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah tampil menzahirkan keprihatinan dengan menyantuni Encik Saiful Arifin, penduduk Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Baru yang terjejas akibat insiden kebakaran semalam. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kebakaran tersebut telah menyebabkan kerosakan teruk pada kediaman mangsa, dengan keseluruhan barangan di dalam rumah musnah dijilat api.
Sebagai tanda solidariti dan sokongan, YIDE melalui Sahabat Prihatin YIDE (SPY) Tuan Hj Ahmad Hamzah selaku Nazir Masjid Sungai Tengi telah menyampaikan sumbangan kewangan kepada Encik Saiful bagi meringankan beban yang ditanggung.
YIDE mendoakan agar Encik Saiful sekeluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini serta dipermudahkan segala urusan mereka.
YIDE juga menyeru masyarakat untuk terus membudayakan amalan infaq dan sedekah, kerana setiap sumbangan mampu menjadi sinar harapan serta membawa makna yang besar kepada mereka yang memerlukan.