
Sabak Bernam, 30 Julai 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Sabak Bernam telah bertindak segera menyantuni Sekolah Menengah Agama (SMA) Muhammadiah, Pekan Sabak Bernam yang terjejas akibat insiden kebakaran disebabkan panahan petir.
Insiden tersebut telah mengakibatkan kerosakan serius pada bahagian bumbung dan menjadikan aras atas asrama tidak lagi selamat untuk digunakan.
Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap musibah yang menimpa, YIDE telah menyampaikan sumbangan kepada pihak sekolah melalui kerjasama Pejabat Penyelaras Dun Sabak Bernam, Tuan Samad Hashim. Sumbangan tersebut telah diterima oleh wakil sekolah, Mohd Azhar bin Abd Rahman, selaku wakil rasmi SAM Muhammadiah, Pekan Sabak.
YIDE mendoakan agar seluruh keluarga warga sekolah yang terkesan dipermudahkan segala urusan serta terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
YIDE turut menyeru seluruh masyarakat untuk terus membudayakan amalan infaq dan sedekah. Setiap sumbangan yang dihulurkan mampu memberikan sinar harapan dan makna yang besar kepada mereka yang sedang diuji serta memerlukan bantuan.