Skip to content

YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN (YIDE) ANJUR PROGRAM CELIK FALAK & ASTRONOMI ISLAM UNTUK ANAK-ANAK YATIM NEGERI SELANGOR

MELAKA, 19 JULAI 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Masjid Asy-Syarif, Meru dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka telah menganjurkan Program Celik Falak dan Astronomi Islam khusus untuk anak-anak yatim dari Negeri Selangor.
 
Program ini telah melibatkan seramai 40 orang anak yatim dari daerah Klang, dengan objektif utama untuk memberikan pendedahan awal berkaitan ilmu falak dan astronomi Islam. Selain memupuk minat terhadap sains angkasa, peserta turut diberikan pemahaman mendalam mengenai hubungan antara ilmu falak dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, seperti penentuan arah kiblat, waktu solat, dan penetapan kalender hijri.
 
Pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan sepanjang program, antaranya eksplorasi minda menggunakan kompas, aktiviti cerapan matahari dan bintang, serta lawatan edukatif ke Galeri Falak. Semua aktiviti ini direka untuk menggabungkan elemen pembelajaran dan keseronokan bagi memberi pengalaman bermakna kepada peserta.
 
Penganjuran program ini diharapkan dapat memupuk kesedaran, memperkukuh kefahaman agama, serta menyemai rasa kagum terhadap ciptaan Allah SWT dalam kalangan anak-anak yatim. Ia juga seiring dengan matlamat YIDE dalam membentuk generasi muda yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
YIDE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, khususnya Masjid Asy-Syarif Meru dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi atas sokongan dan komitmen yang diberikan.