Skip to content

YIDE HULURKAN SUMBANGAN KEPADA WARIS ANAK YATIM DI KOTA WARISAN, SEPANG

SEPANG, 2 Julai 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah menzahirkan keprihatinan dengan mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan musibah kematian kepada waris keluarga anak yatim di Kota Warisan, Sepang, susulan pemergian almarhum Adam Basheer bin Amran.
.
Almarhum merupakan bekas penghuni Rumah Anak Yatim Wardatul Jannah, salah sebuah rumah kebajikan yang berdaftar di bawah YIDE. Beliau di tempatkan di rumah kebajikan tersebut setelah kematian ibu dan bapa. Kini beliau pula telah mengiringi ibu bapa beliau setelah menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami kecederaan parah (severe traumatic brain injury) semasa menyertai kejohanan seni mempertahankan diri peringkat kebangsaan mewakil negeri Selangor.
.
Pemergian almarhum sangat dirasai oleh kakak sulungnya, Puan Arina, yang kini bertanggungjawab menjaga empat orang adik yang lain selepas kehilangan tiga (3) insan tersayang iaitu ibu, bapa dan adik tercinta. Ketabahan dan pengorbanan beliau amat dikagumi.
.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengurus Operasi YIDE, Encik Muhammad Zubair bin Azizan, sebagai tanda simpati dan sokongan moral kepada keluarga yang ditinggalkan. Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga almarhum.
.
YIDE turut mendoakan agar segala urusan Puan Arina dipermudahkan dan semoga beliau terus diberikan kekuatan, kesabaran serta rezeki yang melimpah dalam meneruskan kehidupan bersama adik-adiknya.