Skip to content

YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN (YIDE) SEGERA MENYANTUNI MANGSA KEBAKARAN DI APARTMEN SRI AYU, KLANG

KLANG, 24 Jun 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Masjid Al-Bakri Bukit Naga, Pejabat DUN Sungai Kandis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Naga telah bertindak segera menyantuni lima (5) keluarga yang terjejas akibat insiden kebakaran di Apartmen Sri Ayu, Klang.
.
Kejadian yang berlaku sekitar tengah hari itu telah menyebabkan kemusnahan sepenuhnya ke atas kediaman mereka. Namun begitu, kesemua ahli keluarga berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan. Buat masa ini, semua mangsa ditempatkan di Dewan Serbaguna Apartmen Sri Ayu sementara menunggu penempatan sementara yang sedang diusahakan oleh pihak pengurusan bangunan. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
.
Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Operasi Kebajikan YIDE, En. Muhammad Zubair bin Azizan kepada ketua-ketua keluarga yang terlibat sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap ujian yang menimpa mereka. Semoga semua keluarga yang terkesan dipermudahkan segala urusan dan terus diberi kekuatan menghadapi situasi ini.
.
YIDE turut menyeru masyarakat untuk terus membudayakan amalan infaq dan sedekah kerana setiap sumbangan yang dihulurkan akan memberi makna besar kepada golongan yang sedang diuji dan memerlukan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Â