
SHAH ALAM, 20 Jun 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) terus komited dalam usaha membantu golongan yang memerlukan apabila tampil menyampaikan sumbangan perubatan kepada seorang anak yatim dari daerah Petaling yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
.
Adik Nur Dayana Qaleesya, 10 tahun, anak kepada Puan Nurul Syuhada dari Seksyen 19, Shah Alam, dimasukkan ke hospital setelah disahkan mengalami jangkitan kuman di paru-paru. Menurut ibunya, Dayana mula menunjukkan gejala batuk berpanjangan dan keadaan kesihatannya merosot sebelum dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Keadaan Dayana kini dilaporkan stabil dan sedang dipantau rapi oleh pakar perubatan.
.
Sumbangan perubatan telah disampaikan oleh Pengurus Operasi Kebajikan YIDE, Encik Muhammad Zubair bin Azizan kepada adik Nur Dayana sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada keluarga tersebut.
.
YIDE mendoakan agar Dayana segera diberi kesembuhan dan terus tabah menjalani proses pemulihan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan YIDE dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim serta golongan asnaf di Selangor.
.
Orang ramai diseru untuk terus menyokong usaha kebajikan ini melalui amalan infaq dan sedekah. Setiap sumbangan yang dihulurkan akan memberikan manfaat besar kepada mereka yang memerlukan dan menjadi saham amal jariah berpanjangan.