
Klang, 16 Jun 2025 – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin meneruskan siri lawatan kerjanya ke daerah Klang dalam usaha menyelaras dan memperkukuh pelaksanaan hal ehwal Islam di peringkat daerah.
.
Lawatan ini bertujuan meninjau secara langsung pelaksanaan program-program keagamaan serta mengenal pasti cabaran semasa yang dihadapi oleh institusi-institusi agama di daerah tersebut. Program ini turut membuka ruang perbincangan bersama pihak berkepentingan bagi menambah baik tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam setempat.
.
Sebagai sebahagian daripada agenda lawatan, YAD Senator Dato’ Setia turut berkunjung ke tapak pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim YIDE di Pulau Indah bagi menilai perkembangan semasa projek kebajikan tersebut yang di bawah pengurusan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh Tuan Nur Mohd Razali Abdullah, Pengurus Besar YIDE, yang turut memberikan taklimat berkenaan kemajuan projek dan peranannya dalam memperkukuh kesejahteraan anak-anak yatim di Selangor.
.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah:
Hajah Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha Dasar dan Pengurusan MAIS
Ustaz Anuar Hamzah Tohar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor
Tuan Haji Shah Ruddin Abd Hamid, Pengarah Ekonomi MAIS
Dr. Hajah Norraini Nordin, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS
Barisan pengurusan tertinggi MAIS,
Pegawai dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang,
Pegawai dari Lembaga Zakat Selangor.
.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan MAIS dalam memperkasa sistem penyampaian hal ehwal Islam secara menyeluruh dan mampan di seluruh negeri Selangor.
.
Pengerusi MAIS turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Central Spectrum Sdn Bhd yang telah mewakafkan tanah serta menyalurkan sumbangan bagi menjayakan pembangunan Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah ini. MAIS amat menghargai kerjasama semua pihak yang telah menyokong usaha pembangunan ummah ini.