
GOMBAK, 20 Mei 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah segera turun padang bagi menyalurkan sumbangan kepada lima (5) keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Wira Damai, Gombak.
Menurut Encik Ferdaus, salah seorang mangsa, kejadian berlaku ketika beliau bersama isteri dan anak sedang menikmati makan tengah hari di sebuah kedai berdekatan. Mereka menerima panggilan kecemasan memaklumkan bahawa rumah mereka sedang terbakar. Setibanya di lokasi, beliau mendapati kediaman mereka telah musnah dijilat api dan hasil siasatan bomba memaklumkan bahawa punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas. Beliau bersyukur tiada kemalangan jiwa kerana kesemua lima keluarga sempat menyelamatkan diri.
Sumbangan kebajikan telah disampaikan oleh Encik Mohammad Haizan bin Mohd Rozi, Eksekutif Kebajikan YIDE, kepada semua ketua keluarga terlibat disamping turut memberikan kata-kata semangat bagi menempuh ujian yang menimpa pasti tersembunyi hikmah dan menyeru agar semua terus berdoa agar urusan mereka dipermudahkan pada masa akan datang.
YIDE turut menyeru masyarakat umum agar membudayakan amalan infaq dan sedekah, kerana setiap sen yang disumbangkan pastinya memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukan.