
GOMBAK & BANGI, 7 Mei 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah mengadakan kunjungan mesra ke dua buah rumah kebajikan anak yatim, iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Raudhatul Nurr Jannah di Gombak serta Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim/Miskin Muhammad al-Fateh di Bangi.
.
Program ziarah ini bertujuan untuk menilai potensi dan kelayakan rumah kebajikan bagi proses pendaftaran rasmi di bawah seliaan YIDE. Antara kriteria utama yang dinilai termasuklah status pendaftaran sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pematuhan terhadap garis panduan pengurusan yang ditetapkan.
.
Hasil tinjauan mendapati kedua-dua rumah kebajikan beroperasi dalam keadaan teratur dan memuaskan. Kemudahan tempat tinggal yang bersih dan selesa, bekalan makanan yang mencukupi serta suasana pembelajaran yang kondusif telah membuktikan komitmen pengurusan dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim dan asnaf. Perkara ini amat penting bagi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang sejahtera, selamat dan penuh kasih sayang.
.
YIDE menyeru lebih banyak rumah kebajikan anak yatim di Negeri Selangor untuk bersama-sama mendaftar dan bekerjasama dengan pihak YIDE. Usaha ini bakal membuka peluang kepada pelbagai manfaat seperti bantuan pengurusan, program pembangunan sahsiah serta jaringan sokongan yang kukuh demi kesejahteraan anak-anak yatim di negeri ini.
.
Setakat ini, sebanyak 31 buah rumah kebajikan telah berdaftar di bawah YIDE, melibatkan seramai 12,380 anak yatim yang menerima manfaat secara langsung. Mereka menikmati pelbagai inisiatif seperti bantuan pengurusan, program pembangunan sahsiah dan akademik, serta jaringan sokongan komuniti yang kukuh.
.
YIDE percaya bahawa dengan kerjasama yang erat dan berterusan, lebih banyak impak positif dapat dicapai dalam menjaga dan membela masa depan golongan anak-anak yatim dan asnaf di Negeri Selangor.
Orang awam juga diseru untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan keperluan harian atau sokongan tenaga kerja sukarelawan. Sumbangan ini amat bermakna dalam memastikan kelangsungan program kebajikan, pendidikan dan kebajikan harian anak-anak yatim yang amat memerlukan perhatian dan kasih sayang masyarakat sekeliling.
Â
Â
Â