Skip to content

YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN (YIDE) MENJUNJUNG KASIH TITAH D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR DAN TERUS MENYANTUNI PELAJAR YANG TERKESAN TRAGEDI KEBOCORAN PAIP GAS DI PUTRA HEIGHTS

Putra Heights, 7 April 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan penuh hormat dan takzim menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menzahirkan keprihatinan terhadap nasib pelajar-pelajar yang terjejas akibat tragedi kebocoran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.
.
D.Y.M.M. Tuanku telah menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan agensi-agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan pelajar yang terkesan akibat tragedi tersebut terpelihara, khususnya dalam aspek pendidikan dan kemudahan asas. Antara ketetapan yang diperkenankan termasuk penyediaan bantuan kelengkapan persekolahan serta pengangkutan bagi pelajar yang kini ditempatkan sementara di Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, Putra Heights.
.
Menjunjung titah tersebut, YIDE selaku anak syarikat MAIS telah memulakan inisiatif menyantuni pelajar-pelajar yang terkesan dengan menyalurkan bantuan kelengkapan persekolahan termasuk Baju Uniform, Beg, Kasut Dan Alat Tulis kepada seramai 194 orang pelajar bermula pada 4 April 2025 yang lalu.
.
Bagi memastikan pelajar dapat meneruskan persekolahan tanpa gangguan, YIDE dan rakan kolaborasi termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta Prasarana Sdn. Bhd. menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik melibatkan 8 buah kenderaan khas, iaitu 5 kenderaan khas untuk sesi sekolah pagi dan 3 kenderaan khas untuk sesi sekolah petang, bagi pelajar yang menetap sementara di pusat penempatan sementara di Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, Putra Heights. Sementara itu, pihak Sukarelawan Selangor (SERVE) turut membantu urusan penyelarasan pelajar-pelajar untuk mendapatkan khidmat pengangkutan ini. Khidmat pengangkutan yang disediakan meliputi pergerakan menghantar dan mengambil pelajar-pelajar dalam lingkungan radius 7 kilometer dari pusat penempatan sementara ke sekolah masing-masing. Secara keseluruhan, seramai 76 orang pelajar termasuklah 42 pelajar sekolah rendah dan 34 pelajar sekolah menengah yang melibatkan 19 buah sekolah menerima manfaat daripada inisiatif ini. Pergerakan penghantaran dan pengambilan pelajar-pelajar ini secara pecahannya melibatkan seramai 60 pelajar sesi pagi dan 16 pelajar sesi petang menerima manfaat ini.
.
Tinjauan koordinasi inisiatif ini dilaksanakan secara langsung oleh En. Nur Mohd Razali bin Abdullah, Pengurus Besar YIDE bersama pegawai-pegawai pengurusan dari Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta Prasarana Sdn. Bhd. bagi memastikan kelancaran pergerakan pelajar-pelajar yang terlibat hari ini.
.
YIDE kekal komited dalam memastikan kebajikan para pelajar yang terjejas terus terbela. Segala bentuk bantuan akan disalurkan secara berperingkat demi memastikan setiap pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan selamat dan selesa. Sebarang perkembangan lanjut berkaitan bantuan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.