
ayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Pejabat Daerah Sabak Bernam serta Sahabat Prihatin YIDE Daerah Sabak Bernam bertindak pantas dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa kejadian angin ribut di Sekinchan. Sebanyak 28 keluarga yang terjejas menerima sumbangan berupa pek prihatin YIDE bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat musibah ini.
Kejadian angin ribut tersebut mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian bumbung dan struktur rumah mangsa, termasuk perabot serta barangan keperluan harian. Lima daripada 20 keluarga terpaksa ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) berikutan tahap kerosakan yang terlalu kritikal sehingga kediaman mereka tidak lagi selamat untuk didiami. Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan semua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Sumbangan kepada mangsa telah disampaikan oleh Puan Asmah Husin, wakil Sahabat Prihatin YIDE, bersama En. Faridzul Fadzli, Pegawai Pejabat Daerah Sabak Bernam. Selain bantuan berbentuk keperluan asas, pihak YIDE juga akan terus memantau keadaan mangsa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyalurkan sebarang bentuk bantuan susulan yang diperlukan.
Semoga keluarga yang terkesan diberi ketabahan menghadapi ujian ini, dan segala urusan mereka dipermudahkan serta berjalan lancar dalam tempoh pemulihan.