Skip to content

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA ANAK ANAK YATIM BERSAMA D.Y.T.M RAJA MUDA SELANGOR DI MASJID KAMPUNG SEMENTA, KLANG.

KLANG, 9 Mac 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah mengadakan Majlis Sumbangan Hari Raya Kepada Anak-anak Yatim Di Negeri Selangor Bersama DYTM Raja Muda Selangor. Majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Sementa, Klang ini merupakan kali ketiga diadakan pada tahun ini dan bertujuan menyantuni serta meringankan beban anak-anak yatim sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
.
Bagi sumbangan Hari Raya di daerah Klang, seramai 2,302 anak yatim telah disantuni, merangkumi 1,144 anak yatim lelaki dan 1,158 anak yatim perempuan. Jumlah peruntukan bagi sumbangan ini adalah sebanyak RM345,300.00. Pada majlis tersebut seramai 660 anak yatim menerima sumbangan secara bersemuka dengan jumlah peruntukan sebanyak RM99,000. Manakala bagi 1,642 anak yatim yang tidak dapat hadir, YIDE telah mengkreditkan sumbangan sebanyak RM246,300 terus ke akaun bank masing-masing bagi memastikan mereka tetap menerima bantuan yang diperuntukkan.
.
YIDE juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TERAJU Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) atas sumbangan sebanyak RM50,000 dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atas sumbangan sebanyak RM40,000. Sumbangan ini amat bermakna dalam memastikan kelangsungan kebajikan anak-anak yatim, terutama di bulan Ramadhan.
.
Selain program sumbangan, YIDE turut komited dalam pembangunan pendidikan dan kemenjadian anak-anak yatim menerusi pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim di Pulau Indah, Klang. Sehingga 7 Mac 2025, kompleks ini telah mencapai 62.5% progres pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung Januari 2026. Dengan adanya kompleks ini, YIDE berhasrat untuk menyediakan platform yang lebih sistematik dalam membangunkan kecemerlangan akademik dan kemahiran anak-anak yatim agar mereka dapat membina masa depan yang lebih cerah.
.
YIDE menyeru semua pihak untuk terus memberi sokongan dan mewujudkan sinergi kolaborasi agar inisiatif ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Keprihatinan masyarakat amatlah dihargai dalam memastikan anak-anak yatim ini mendapat peluang yang sama seperti kanak-kanak lain.
.
Turut hadir dalam majlis ini, YBhg. Tan sri Mazlan bin Mansor, Pengerusi YIDE merangkap Timbalan Pengerusi MAIS, Y.D.M. Orang-Orang Besar Istana, YBhg. Dr Hj Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS, Sahibus Samahah Dato’ Prof Madya Dr Hj Miszairi Bin Haji Sitiris, Timbalan Mufti Negeri Selangor, YB Dato’ Hj Abdul Hamid Bin Hussain, Datuk Bandar MBDK, Ahli- Ahli Pemegang Amanah YIDE, Pengurus Besar YIDE dan Pengarah- Pengarah dari agensi dan jabatan di Negeri selangor Selangor.