
Shah Alam, 8 Mac 2025 – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan penuh takzim menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia (D.Y.M.M.) Sultan Selangor mengenai kepentingan menjaga kebajikan anak-anak yatim di Negeri Selangor dan memastikan anak-anak yatim mendapat pendidikan serta keperluan asas yang sempurna, memastikan mereka memperoleh tempat tinggal yang selesa dan terjamin.
.
Tahun ini, YIDE sedia menyantuni seramai 13,000 anak-anak yatim di seluruh Negeri Selangor dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.95 juta khusus untuk sumbangan Hari Raya. Inisiatif ini adalah manifestasi keprihatinan YIDE dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yatim terus terbela.
.
Di Daerah Petaling, seramai 2,413 anak yatim disantuni, termasuklah 1,272 anak yatim lelaki dan 1,141 anak yatim perempuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM361,950.00. Majlis hari ini menyaksikan pemberian sumbangan Hari Raya kepada 580 anak yatim yang disempurnakan oleh D.Y.T.M. Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj secara bersemuka dengan jumlah peruntukan sebanyak RM87,000. Manakala bagi 1,833 anak yatim yang tidak dapat hadir, YIDE telah mengkreditkan sumbangan sebanyak RM274,950 terus ke akaun bank masing-masing bagi memastikan mereka tetap menerima bantuan yang diperuntukkan.
.
YIDE turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat yang terus memberikan kepercayaan kepada YIDE dalam melaksanakan pelbagai inisiatif demi kebajikan anak-anak yatim.
.
Turut hadir dalam majlis ini, YBhg. Tan sri Mazlan bin Mansor, Pengerusi YIDE merangkap Timbalan Pengerusi MAIS, Y.D.M. Orang-Orang Besar Istana, YBhg. Dr Hj Ahmad Shahir bin Makhtar, Setiausaha MAIS, Sahibus Samahah Dato’ Prof Madya Dr Hj Miszairi Bin Haji Sitiris, YB Dr Mohammad Fahmi Bin Ngah, EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor, Ahli- Ahli Pemegang Amanah YIDE, Pengurus Besar YIDE dan Pengarah- Pengarah dari agensi dan jabatan di Negeri selangor Selangor.