
TANJUNG KLING, 2 Mac 2025 – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah berkenan mencemar duli ke Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim Rumah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj (RAYSAAS). Majlis ini dianjurkan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan anak-anak yatim.
.
Dalam majlis ini, YIDE menyalurkan sumbangan tunai sebanyak RM9,300 telah diberikan kepada 31 anak yatim, selain 100kg beras dan set kain pelikat kepada 31 anak yatim yang dikurniakan oleh DYTM Raja Muda Selangor. Sumbangan ini bertujuan membantu persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim.
.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Tan Sri Mazlan bin Mansor, Pengerusi YIDE; Sahibus Samahah Dato’ Prof. Madya Dr. Haji Miszairi bin Haji Sitiris, Timbalan Mufti Negeri Selangor, YBhg. Tuan Shaifulfazlee bin Mohamad Setiausaha, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, YBhg. En. Mohd Hairulamin Mohd Sis, Pengurus Baitulmal, Majlis Agama Islam Melaka, YBrs. En. Nur Mohd Razali bin Abdullah, Pengurus Besar YIDE dan juga barisan Pengurusan RAYSAAS. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan anak-anak yatim terus terpelihara.
.
Rumah Anak-anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj merupakan sebuah institusi yang menjadi simbol kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan. inisiatif pembinaan rumah ini bermula tahun 2000 di mana Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj telah berkenan memberi sumbangan bagi pembangunan rumah ini dengan tanah bagi pembinaan rumah ini adalah hasil wakaf daripada YBhg. Datuk H.M. Shah dan keluarga Sidang Mahat bin Nekmat.
.
Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka pada ketika itu telah meneruskan inisiatif tersebut dengan menyiapkan pembinaan rumah ini di mana Majlis Agama Islam Melaka dan Tabung Amanah Dakwah Negeri Melaka telah memperuntukkan sebahagian di samping terimaan sumbangan orang ramai.
.
Bangunan ini siap pada bulan Februari 2002 dan mula beroperasi pada 13 Mac 2002. Segala perbelanjaan penghuni dibiayai melalui peruntukan asnaf fisabilillah oleh Majlis Agama Islam Melaka dan sumbangan masyarakat. dengan sokongan dan bantuan ini, rumah anak-anak yatim ini bukan sekadar tempat tinggal, tetapi juga menjadi asas kepada pembentukan generasi masa depan yang lebih cemerlang.
.
YIDE kekal komited dalam menyokong anak-anak yatim khususnya di Negeri Selangor melalui pelbagai program pembangunan dan kebajikan. Masyarakat juga digalakkan untuk bersama-sama menyumbang bagi memastikan kesinambungan usaha murni ini.