
ZIARAH PRIHATIN : YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN (YIDE) SANTUNI & SERAH SUMBANGAN PERSEKOLAHAN KEPADA ANAK YATIM
TANJUNG KARANG, 13 Februari 2025 – Dalam usaha membawa sinar kebahagiaan kepada anak-anak yatim, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah mengadakan kunjungan kasih ke kediaman dua beradik yatim, Siti Chaharah dan Siti Aisyah di Tanjung Karang, Selangor. Kunjungan ini bukan sekadar ziarah, tetapi juga bertujuan menyampaikan sumbangan tunai bagi membantu persiapan persekolahan mereka bagi tahun 2025.
En. Ridzuan Ahmed selaku abang kepada arwah ayam anak yatim dua beradik tersebut meluahkan rasa syukur dan terharu atas bantuan yang diberikan. Sejak pemergian bapa kandung mereka, beliau memikul tanggungjawab membesarkan kedua-dua anak yatim ini dan sumbangan yang diterima amat bermakna dalam meringankan beban kewangan terutama bagi kelengkapan dan yuran persekolahan.
Sumbangan telah disempurnakan oleh Pengurus Operasi Kebajikan YIDE. Dalam kesempatan itu juga, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada adik Siti Chaharah dan Siti Aisyah agar terus berusaha dan bersemangat dalam menimba ilmu demi membina masa depan yang lebih gemilang.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada para penyumbang yang sudi berkongsi rezeki. Setiap sumbangan yang diberikan bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga menjadi cahaya harapan buat mereka yang memerlukan. Semoga kebaikan ini terus mengalir dan diberkati.